Walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada minggu lepas, mengumumkan bahawa beliau telah menghantar ‘armada’ ke Korea Utara, pada realitinya, kapal itu masih jauh dari Semenanjung Korea malah ia dilaporkan bergerak ke arah yang bertentangan.

Ia bergerak lebih jauh pada hujung minggu ini, melalui Selat Sunda dan kemudian ke Lautan Hindi, selepas Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu yang gagal.

Tentera AS menjelaskan bahawa perkara itu berlaku kerana pasukan besar dengan aset penyerang itu perlu menamatkan latihan pendek yang dirancang lebih awal dengan Australia.

Perkara itu telah membuatkan pihak Korea Utara tertanya-tanya sekiranya ia menjatuhkan kredibiliti Trump.

"Jika anda menggertak mereka (Korea Utara) dan gertakan anda tidak ada kredibiliti, ia hanya akan menjejaskan apa sahaja polisi anda terhadap mereka. Dan itu boleh menjadi kesimpulan yang logik dari apa yang berlaku," kata pakar Korea Utara, Joel Wit di 38 North, sebuah kumpulan pemantauan yang dikendali Universiti Johns Hopkins.

BACA: 'Armada' Trump digerakkan, Korea Utara beri amaran serangan nuklear

Tentera Amerika Syarikat dalam satu kenyataan bertarikh 10 April berkata, Komander Kawalan Pasifik telah memerintahkan Laksamana Harry Harris supaya mengarahkan kumpulan 'armada' Carl Vinson untuk belayar ke utara dan melaporkan stesen di Pasifik Barat.

Pada 11 April, Reuters dan media yang lain berkata pergerakan kapal pembawa pesawat pejuang AS itu akan mengambil masa lebih dari seminggu untuk tiba ke destinasinya.

Tentera Laut AS, bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut tentang lokasi operasi mereka atas sebab-sebab keselamatan.