Para pemimpin ASEAN hari ini menyatakan sokongan supaya satu usaha pembangunan dapat dilaksanakan dalam merealisasikan ASEAN sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi ASEAN 2019, Jen. Prayuth Chan-o-cha yang juga Perdana Menteri Thailand dalam satu sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di sini hari ini.

“Saya ingin memaklumkan kepada rakyat ASEAN yang hari ini, para pemimpin menyokong hasrat untuk membangunkan satu usaha bersama untuk menjadi ASEAN sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA pada tahun 2034.

“Dalam hal ini, saya ingin menjemput semua rakyat ASEAN untuk bersama-sama menyokong Persatuan Bola Sepak Negara-Negara Anggota ASEAN dengan tujuan untuk merealisasikan impian ini bersama-sama,” katanya.

Perkara itu diusulkan kepada 10 pemimpin negara anggota ASEAN itu pada sesi pemukiman sidang kemuncak tersebut yang berlangsung pagi tadi.

Sebelum ini, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sewaktu menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, berkata badan induk dari tiga negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah menyatakan hasrat bersepakat membida menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun berkenaan.

Baginda yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut merasakan ia bukan satu masalah jika Malaysia menyokong hasrat menjadi tuan rumah bersama kejohanan bola sepak terbesar itu.