Tutup

Berita  | Dunia

Aung San hilang 'suci', hapus etnik, bukti dinafi

Aung San hilang 'suci', hapus etnik, bukti dinafi
Suu Kyi tidak menafikan askar Myanmar ada menggunakan kekerasan yang melampau, tetapi dia setakat mampu memberi pendirian bahawa mereka akan didakwa jika terlibat jenayah perang. - Reuters
DUNIA 'terpegun' dengan pendirian pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1991 Aung San Suu Kyi yang tiada langsung menzahirkan rasa peka – jauh lagi berduka; dengan menafikan kezaliman Myanmar yang kejam menghapus kaum Rohingya.

Imej Suu Kyi dengan nada bersahaja membuat kenyataan membela Myanmar berdepan barisan 17 hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menimbul pelbagai reaksi.
Sekumpulan 250 warga Myanmar yang sanggup berkumpul dalam cuaca sejuk The Hague, Belanda di luar mahkamah begitu taksub bersorak menyokong Suu Kyi sewaktu perbicaraan diumum bersambung pada Rabu.

Reaksi berbeza pula kedengarannya dalam kalangan etnik Rohingya yang mengikuti perbicaraan setelah disalur secara terus untuk tontonan di khemah pelarian Cox’s Bazaar, Bangladesh. Mereka menjerit, “Penipu!” apabila imej Suu Kyi muncul di layar skrin.
Di mahkamah, Suu Kyi menyifatkan tuduhan terhadap Myanmar tidak lengkap dan mengelirukan.

Menteri Kehakiman dan Peguam Negara Gambia Abubacarr Mari Tambadou membentang kes terhadap Myanmar pada hari pertama bermula Selasa.

Mula bicara, Tambadou menyebut tentang teguran negarawan terkenal kurun ke-18 Edmund Burke bagi membangkitkan kesedaran dunia tentang Myanmar – “Satu perkara yang memungkinkan kejahatan mengatasi kemuliaan ialah jika manusia mulia pejamkan mata.” 

Suu Kyi – yang turut dikenali dunia sebagai 'The Lady' menerusi lakonan Michelle Yeoh pada tahun 2011, diberi peluang membalas tuduhan pada hari kedua.

Menurutnya lagi, krisis di Rakhine di mana kaum Rohingya menetap mempunyai sejarah berkurun-kurun lamanya.

Mengikut pertuduhan, beribu-ribu etnik Rohingya dibunuh sementara lebih 700,000 lagi lari menyelamatkan diri di Bangladesh akibat tindakan menghalau keluar menggunakan kekerasan dan kekejaman pada 2017.



Mahkamah diberitahu etnik Rohingya dizalimi dengan cara pembunuhan kejam, rogol, bayi dihumban ke dalam rumah sedang terbakar dan ternakan dibunuh - bertujuan melenyapkan satu bangsa secara berdikit-dikit atau sepenuhnya.

Di perkampungan Min Gyi, penyiasat PBB menganggar 750 penduduk dibunuh, termasuk 100 kanak kanak di bawah umur enam tahun.

Alasan yang diberi Suu Kyi kononnya tindakan askar diambil bagi membanteras gerakan militan menentang pasukan keselamatan Myanmar.

Suu Kyi tidak menafikan askar Myanmar ada menggunakan kekerasan yang melampau, tetapi dia setakat mampu memberi pendirian bahawa mereka akan didakwa jika terlibat jenayah perang.

Dunia mengecam Suu Kyi yang disifatkan bersekongkol dengan pihak militari yang sebenarnya memegang kuasa politik dan pentadbiran Myanmar.

Namun Suu Kyi dianggap ketua negara tidak rasmi (de facto leader) Myanmar sejak April 2016. Pada waktu itu, belum timbul berita rakyat Myanmar keturunan Islam Rohingya yang begitu teruk dianiaya atau menghadapi ancaman penghapusan etnik.

Memegang jawatan rasmi Penasihat Negara, Suu Kyi dengan panjang lebar mengupas definisi penghapusan etnik yang diakuinya sebagai satu jenayah yang tidak berperikemanusiaan.

Walaupun mengaku tentera Myanmar ada mengarahkan tembakan bersasar terhadap orang awam dalam kalangan etnik Rohingya, Suu Kyi mendakwa tindakan itu tidak dibiar berlalu tanpa siasatan.

Myanmar menghadapi tuduhan di ICJ atas usaha Gambia, sebuah negara kecil bermajoriti Islam di barat Afrika, bagi pihak 57 negara Islam dalam pertubuhan OIC yang majoriti hanya mampu berdiam diri.

Gambia mengambil inisiatif mendakwa Myanmar atas tuduhan melanggar Konvensyen Penghapusan Kaum (Genocide Convention) 1948 dan terlibat jenayah pembunuhan ramai-ramai, rogol dan usaha penghapusan etnik.

Sejak Perang Dunia kedua, hanya tiga kes pembunuhan beramai-ramai diisytihar sebagai penghapusan etnik oleh Mahkamah Antarabangsa. Ketiga-tiga kes itu melibatkan rejim Pol Pot di Kampuchea (nama lama bagi Kemboja) pada hujung 1970an, Rwanda pada 1994 dan Srebrenica, Bosnia pada 1995.


Tag: aung san suu kyi, mahkamah antarabangsa, rohingya, hak asasi manusia, pembersihan etnik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.