Menteri Luar Australia, Julie Bishop mencadangkan supaya tribunal yang menyerupai kes pengeboman Lockerbie pada 1988 diguna pakai terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas insiden nahas penerbangan Malaysia Airlines MH17.

Menurutnya, tribunal itu menjadi pilihan sekiranya Rusia menggunakan kuasa veto bagi menghalang cubaan menyiasat dengan lebih lanjut punca nahas berkenaan.

Bishop berkata kaedah tribunal antarabangsa boleh mencerminkan tribunal pengeboman penerbangan, Pan Am 103, di Lockerbie, Scotland.

“Terdapat beberapa pilihan, antaranya cara pendakwaan Lockerbie (merujuk kepada pengeboman pesawat 1988) iaitu tribunal yang ditubuhkan oleh komuniti antarabangsa.

"Atau kaedah lain menerusi pendakwaan domestik contohnya di Belanda, dan asalkan mereka mempunyai kuasa ekstradasi dan sebagainya, pendakwaan boleh dilakukan dalam bidang kuasa domestik bertujuan menjaga kepentingan 298 mangsa dalam pesawat berkenaan,” katanya dalam program bual bicara Australia, Insider pada Sabtu.

Mahkamah khas di Scotland ditubuhkan di Belanda bagi memudah perbicaraan ke atas dua rakyat Libya yang bertanggungjawab ke atas nahas berkenaan di mana seorang daripada dua didapati bersalah pada tahun 2001.

Bulan lalu, penyiasat Belanda mendakwa mereka mempunyai bukti kukuh bahawa pesawat MH17 ditembak oleh peluru berpandu permukaan-ke-udara (BUK) dari Rusia.

Pesawat Boeing B-777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala lumpur, apabila ditembak di wilayah Donetsk, Timur Ukraine, pada 17 Julai 2014 mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.