Australia akan menilai secara serius kemungkinan menawarkan perlindungan kepada penduduk Hong Kong susulan peraturan baharu yang dikuatkuasakan China.

Perdana Menteri, Scott Morrison berkata meskipun tindakan itu mungkin mengeruhkan lagi ketegangan dengan China, keadaan di Hong Kong kini amat membimbangkan.

"Kerajaan Australia menimbangkan rancangan untuk menerima kedatangan penduduk bekas jajahan British itu dan kita akan menawarkan tempat perlindungan," katanya.

Jelas beliau, pendekatan itu akan ditimbangkan oleh Kabinet pimpinannya sambil memberi petunjuk bahawa ia akan diluluskan.

"Apabila kami telah membuat keputusan akhir mengenai pengaturan tersebut, maka saya akan membuat pengumuman," ujar Marrison kepada wartawan di Canberra.

Ia diumumkan selepas United Kingdom mengumumkan laluan baharu untuk status Rakyat British Luar Negara dan keluarga mereka berhijrah ke sana, sekali gus memohon kerakyatan.

Hong Kong berada di bawah pemerintahan Britain sebelum ia diserahkan ke tangan China pada 1997 dengan jaminan Beijing akan melindungi autonomi selama 50 tahun.

Pengkritik bagaimanapun berkata undang-undang baharu yang diluluskan Beijing mencabuli prinsip 'Satu Negara Dua Sistem' yang dilaksanakan pada 1984.