Australia pada Isnin menolak sebuah laporan mengenai siasatan pihak Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) terhadap juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370.

Perkara tersebut menurut pihak Australia, adalah isu Malaysia dan langsung tidak ada kaitan dengan kepentingan pencarian lokasi pesawat yang hilang di Lautan Hindi itu.

Laporan majalah The New York Magazine pada Jumaat memetik dokumen rahsia FBI yang antara lain dikatakan menyentuh tentang juruterbang pesawat, Kapten Zaharie Ahmad Shah, menggunakan simulator penerbangan di rumahnya untuk memeta laluan menyerupai haluan penerbangan pesawat tersebut beberapa minggu sebelum ia dilaporkan hilang.

Pendedahan tersebut mencetuskan semula spekulasi dalam media Australia pada Isnin, yang antara lain merumuskan misteri kehilangan pesawat itu berkemungkinan akibat ‘tindakan bunuh diri’.

“Saya dan kerajaan menyedari mengenai laporan siasatan FBI tentang simulator penerbangan milik juruterbang pesawat MH370.

“Saya tidak dapat mengulas lanjut mengenainya, selain hanya percaya maklumat itu adalah untuk keperluan penyiasat Malaysia dalam menyiapkan laporan akhir tragedi ini,” ujar Perdana Menteri Malcolm Turnbull di Sydney.

Bagaimanapun tambahnya, walaupun maklumat dari simulator itu dapat memberi penjelasan terhadap ‘rancangan’ juruterbang tersebut, ia tetap tidak dapat membantu usaha pencarian lokasi pesawat berkenaan.

Australia mengetuai misi pencarian besar-besaran pesawat MH370 itu yang dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi. Ia hilang dari radar pada 8 Mac 2014 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa seramai 239 orang.

Malaysia, China dan Australia pada minggu lalu bersetuju untuk menggantung operasi pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi sekiranya tiada petunjuk baharu ditemui.