BEDILAN roket dilaporkan berlaku di tengah-tengah bandar Baghdad dan di pangkalan udara tentera Amerika Syarikat (AS).

Ledakan itu dipercayai berlaku sebagai langkah tindak balas ekoran serangan udara AS yang meragut nyawa komander keselamatan dan perisikan Iran, Jeneral Qassem Soleimani.

Media tempatan melaporkan beberapa buah roket dijatuhkan di tengah bandar Baghdad serta beberapa kawasan di sekitarnya, termasuk pangkalan udara tentera AS yang terletak kira-kira 80 kilometer di utara negara itu pada petang Sabtu.

Tentera Iraq berkata serangan ke atas bandar dan beberapa kawasan Zon Hijau itu berlaku selepas isu pembunuhan Jeneral Iran, Soleimani mula mencuri perhatian.

Antara kawasan Zon Hijau yang disasarkan termasuk bangunan kerajaan, bangunan Kedutaan AS serta pangkalan udara tentera AS yang menempatkan ramai tentera AS di Iraq.

Pihak keselamatan memberitahu agensi berita AFP bahawa beberapa buah dron telah dihantar ke kawasan serangan bagi mengenal pasti dan menyiasat arah serangan itu dilakukan.

Pihaknya juga turut menambah kekuatan keselamatan ekoran pertelingkahan kes pembunuhan Soleimani.

“Kami telah meningkatkan pertahanan dan keselamatan di pangkalan Iraq.

“Kami meletakkan keselamatan ketenteraan kami sebagai keutamaan. Kami akan terus berwaspada,” kata jurucakap tentera pakatan Kolonel Myles Caggins III.

Dalam pada itu, tentera Iraq turut memberitahu tiada mangsa dilaporkan maut dalam serangan tersebut.

Agensi berita Reuters melaporkan pihak polis memaklumkan lima orang disahkan cedera dalam kejadian yang berlaku di dalam Zon Hijau itu.

Lapor saluran televisyen al-Mayadeen, sebelum ini pihak militant Kataib Hezbollah Iraq memberi amaran kepada pasukan keselamatan Iraq untuk menjauhkan diri dari pangkalan AS di Iraq bermula pada petang Ahad.

Iran bersumpah untuk menuntut bela kematian Soleimani yang disasarkan AS serta memberi amaran bahawa Washington dan Tehran akan berada dalam ambang peperangan besar yang tidak lama lagi dijangka berlaku di Timur Tengah.

Kematian Soleimani telah menyebabkan ketegangan serantau dan turut mencetuskan kebimbangan orang ramai khususnya Amerika Syarikat atas kemungkinan serangan balik terhadap kedutaan dan pangkalan tentera AS yang ditempatkan di Iraq.

Selepas kematian Soleimani, NATO menggantung misi latihannya untuk tentera di tentera Iraq, mengatakan bahawa kebimbangan keselamatan terhadap kakitangannya adalah "paling utama."