Selepas dilaporkan membelanjakan ratusan ribu dolar tahun lalu bagi membiayai kehidupan yang serba mewah, pasangan diraja Britain, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle sekali lagi mencetuskan kemarahan pembayar cukai di negara itu.

Kali ini pasangan berkenaan didakwa telah berhabisan sebanyak 2.4 juta pound (RM12.6 juta) untuk mengubahsuai kediaman mereka di Fragmore Cottage, kata Istana Buckingham pada Selasa.

Kenyataan itu sekali gus kerana memperincikan bagaimana keluarga diraja berkenaan membelanjakan wang yang dibayar oleh pembayar cukai.

Jumlah itu yang sebahagiannya daripada ‘Geran Berdaulat’ tahunan digunakan untuk membiayai penukaran Frogmore Cottage kepada kediaman tunggal, tetapi sebaliknya pasangan diraja, Duke dan Duchess of Sussex itu menggunakannya untuk membayar kelengkapan rumah berkenaan.

“Tiada pengubahsuaian ke atas kediaman terbabit sejak beberapa lama dan ia telah diperuntukkan untuk diubahsuai dalam usaha mengekalkan keadaannya agar boleh didiami sebagai istana.

“Infrastruktur yang sudah lapuk telah digantikan untuk menjamin masa depan jangka panjang kediaman itu,” kata Michael Stevens, akauntan diraja dan juga penjaga Privy Purse.

Fragmore Cottage dibina pada kurun ke-19 itu menjadi kediaman rasmi Harry dan Meghan selepas mereka berpindah ke sana selepas kelahiran anak sulung pasangan berkenaan, Archie pada Mei lalu.

Bangunan itu telah diubahsuai menjadi lima kediaman berbeza dan pegawai kerajaan telah merancang untuk mengubahsuai Fragmore Cottage sebelum ia dipersetujui menjadi kediaman rasmi Harry dan Meghan.

Tempoh pengubahsuaian yang mengambil masa selama enam bulan itu turut merangkumi pendawaian elektrik baharu, penggantian siling serta lantai, sistem pemanasan dan bekalan air.

Dalam pada itu, menurut sumber istana, geran pembayar cukai pula digunakan untuk membiayai kos asas untuk dapur, bilik mandi dan lantai serta perbelanjaan tambahan termasuk langsir dan perabot. Kediaman itu turut dilengkapi dengan lantai terapung dan studio yoga.

Terdahulu, pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu tinggal di Istana Kensington yang merupakan sebuah kediaman di London milik abangnya, Putera William dan isterinya, Kate Middleton.

Perbelanjaan di Frogmore Cottage merupakan sebahagian daripada 82.2 juta pound (RM432.418 juta) daripada geran berdaulat, pemberian kerajaan yang meliputi tugas rasmi Queen Elizabeth termasuk kos kakitangan, pemeliharaan istana diraja dan perbelanjaan perjalanan.

Ia berdasarkan pada 15 peratus daripada hasil lebihan Estate Crown, sebuah portfolio harta milik monarki, dua tahun sebelum ini.

Pada tahun 2016, peratusan ini meningkat kepada 25 peratus selama sedekad dengan tambahan untuk membayar penambahbaikan Istana Buckingham.

Kerja penaiktarafan selama 10 tahun yang bernilai 369 juta pound (RM1.94 bilion) untuk menggantikan sistem pendawaian dan sistem pemanasan elektrik di istana berkenaan.

Graham Smith, dari Republik yang mahu memansuhkan monarki berkenaan berkata, kumpulan kempennya menganggarkan kos sebenar keluarga diraja setiap tahun adalah 345 juta pound (RM1.8 bilion).

“Biarpun sebuah sekolah atau hospital memerlukan penambahbaikan, kita tidak boleh menggunakan perbelanjaan diraja walaupun satu sen.

“Namun dengan semua perkhidmatan awam yang kini berada di bawah tekanan kewangan yang hebat, kita membuang 2.4 juta pound (RM12.62 juta) di sebuah rumah baru untuk Harry,” jelasnya.