BALU kepada seorang doktor yang pernah memberi amaran tentang penularan wabak virus pembunuh COVID-19, Dr Li Wenliang, selamat melahirkan seorang bayi lelaki.

Lebih menyedihkan, balunya itu, Fu Xuejie turut menyatakan bahawa bayinya itu merupakan ‘peninggalan terakhir’ daripada suaminya yang meninggal dunia empat bulan lalu akibat COVID-19.

"Suamiku, adakah kamu boleh melihat kelahiran ini dari syurga? Kamu telah menghadiahkan hadiah terakhir ini kepadaku hari ini.

“Jangan risau, aku akan menyayangi dan melindunginya," ujar Fu menerusi muat naik gambar dan status di aplikasi WeChat.

Lapor portal berita Litchi News, Dr. Li yang juga seorang doktor mata, menyedari kewujudan virus tersebut selepas membaca laporan daripada rakan setugasnya yang menunjukkan terdapat pesakit yang menunjukkan gejala seakan influenza, namun ia mempunyai ketahanan terhadap rawatan konvensional.

Malah, Dr. Li juga dikatakan menemui gejala yang sama kepada tujuh lagi pesakit lain dan seterusnya menghantar laporan berkenaan virus yang mirip dengan wabak SARS, yang pernah meragut 774 nyawa di seluruh dunia pada tahun 2003.

Di dalam pesanan ringkas yang disampaikan kepada rakan doktor yang lain juga, Dr. Li memberitahu bahawa penemuan baharu itu membuktikan bahawa ia adalah jangkitan koronavirus, namun subjenis bagi strain virus itu agak berbeza.

Namun, bagaimanapun, Dr. Li kemudiannya diberi amaran oleh pihak berkuasa untuk menghentikan ‘dakwaan palsu’ tersebut.

Dia juga diarahkan untuk disiasat bersama lapan lagi rakan setugasnya atas tuduhan ‘penyebaran maklumat palsu’ dan diberi amaran akan didakwa sekiranya beliau tidak berhenti menyebarkan berita itu.

Malah, Dr. Li juga dipaksa untuk menandatangani perakuan kesalahan dan perlu berjanji bahawa dia akan berhenti daripada melakukan ‘tindakan tidak sah’ di masa depan.

Dr. Li meninggal pada usia 33 tahun setelah dijangkiti novel koronavirus tersebut pada bulan Februari lalu, namun dia merupakan individu pertama yang memberi tahu pihak berkuasa China tentang bahaya penyakit itu pada bulan Disember 2019.

Dia juga merupakan individu yang pertama berjaya mengesan lokasi pertama penularan wabak berkenaan di sebuah pasar makanan laut di Huanan.

Kematiannya pada Februari lalu mencetuskan kemarahan warga China kerana rata-rata mendakwa kerajaan China telah mengabaikan penularan wabak penyakit berjangkit itu.

Selain itu, warga China juga turut mendesak kerajaan itu supaya memberikan hak kebebasan bersuara termasuk di aplikasi sosial seperti WeChat dan Weibo.