DUNIA
Bandar Chiang Rai bersorak riang rai kejayaan selamatkan mangsa Gua Tham Luang

Pelajar-pelajar sekolah Mae Sai Prasitsart di Chiang Rai, Thailand berdoa dan menyorak selepas guru mereka mengumumkan 12 rakan sekolah dan jurulatih bola sepak mereka berjaya diselamatkan. - REUTERS
Sahutan bunyi hon dan sorak riang bergema di seluruh bandar Chiang Rai, Thailand malam tadi sebaik sahaja diumumkan mangsa terakhir yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
Kegembiraan itu turut diserikan dengan 'rombongan terakhir' empat anggota tentera laut Thailand SEAL dan seorang ahli perubatan Australia Dr Richard Harris selamat keluar dari gua, menjadikan Gua Tham Luang yang sebelum ini 'menelan' 13 mangsa, akhirnya kosong.
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha mengumumkan akan menganjurkan satu sambutan kepada semua yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat.
Penggunaan hashtag #Hooyah juga trending di media sosial apabila ia dimulakan oleh pasukan tentera laut Thailand SEAL dalam menaikkan semangat untuk terus berjuang menyelamatkan 13 mangsa tersebut.
Perdana Menteri Britain, Theresa May, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, juga mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang mendapat kerjasama antarabangsa ini.
Terdahulu, mata seluruh dunia tertumpu kepada debaran misi menyelamatkan 12 remaja bersama seorang jurulatih mereka yang terperangkap di dalam gua berkenaan sejak 23 Jun lalu.
Dua penyelam Britain berjaya menemui kumpulan bola sepak yang menggelarkan diri mereka 'Wild Boars' itu pada 2 Julai lalu, kemudian misi mengeluarkan 13 mangsa diteruskan oleh pasukan tentera laut Thailand SEAL.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami