Bangkai seekor paus biru seberat 100 tan ditemukan di Teluk Kupang, Pantai Batu Kepala Na, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, petang Selasa.

Memetik laporan Jakarta Post, penemuan mamalia terbesar di muka bumi sepanjang 29 meter itu menjadi tular dan menarik perhatian ribuan penduduk di bandar Kupang.

"Kami bergerak segera ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada para penduduk mengenai paus itu.

"Paus ini ditemukan mati oleh nelayan kira-kira jam 10 pagi di perairan Kupang sebelum dibawa oleh air pasang di pantai jam 3 petang," kata Ketua Badan Pemuliharaan Air Kupang (BKKPN), Ikram Sangadji.

Januari lalu, kejadian hampir sama berlaku apabila seekor paus ditemukan mati di kawasan pohon bakau, Pantai Tasilo.

Jelas Ikram, berdasarkan pemantauan BKKPN, sebanyak 16 spesis hidupan laut ditemukan mati di pantai berkenaan iaitu masing-masing lapan jenis ikan lumba-lumba dan paus.

Katanya, bangkai paus biru itu akan ditanam di pesisiran pantai atas faktor alam sekitar dan ia boleh digali semula untuk tujuan pemeliharaan.

"Paus biru merupakan haiwan yang dilindungi jadi proses pemeliharaan spesimennya boleh membantu aktiviti pengesanan mengenai lokasi dan kewujudan spesis itu dengan tepat," katanya.