Dalam arahan terbaharu bagi membendung wabak COVID-19, ibu negara Thailand, Bangkok melarang penjualan alkohol mulai tengah malam Khamis hingga 20 April untuk mengelak perhimpunan semasa tahun baharu tradisional Thailand, Songkran minggu hadapan.

Jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) Pongsakorn Kwanmuang berkata larangan itu akan menghalang orang ramai daripada berkumpul dan minum minuman keras semasa Songkran walaupun kerajaan telah mengumumkan penangguhan sambutan itu ke satu tarikh baharu tahun ini.

"Keadaan di negara bertambah baik... Kami tidak mahu lagi penyebar semasa Songkran. Sila beri kerjasama untuk membendung penularan wabak COVID-19," katanya.

Selain Bangkok, wilayah lain seperti Chiang Mai, Rayong, Buriram dan Nakhon Pathom sudah melarang penjualan alkohol sebagai langkah untuk mengurangkan penularan virus COVID-19.

Thailand mengisytiharkan darurat dari 26 Mac hingga 30 April. Negara itu juga mengenakan perintah berkurung pada waktu malam selama enam jam bermula 10 malam hingga 4 pagi.

BMA juga melarang semua pasar raya, kedai serbaneka dan penjual jalanan daripada beroperasi semasa tempoh perintah berkurung itu.

Sementara itu, Thailand melaporkan 54 kes baharu jangkitan COVID-19 dan dua kematian, menjadikan keseluruhan 2,423 kes dan 32 kematian.

Dua kematian itu membabitkan seorang warga Perancis berusia 74 tahun dan lelaki Thailand berumur 82 tahun.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada 54 kes baharu itu, empat adalah kakitangan perubatan.

"Sejak Januari, terdapat 80 kakitangan perubatan termasuk 16 doktor dijangkiti COVID-19 kerana pesakit menyembunyikan maklumat ketika mendapatkan rawatan di hospital. Kira-kira 62.5 peratus dijangkiti daripada hospital," katanya pada taklimat harian COVID-19.

Beliau berkata lima lagi antara 76 rakyat Thailand yang pulang dari Indonesia pada Isnin selepas perhimpunan keagamaan di sana dibatalkan pada saat akhir, diuji positif COVID-19. Ini menjadikan jumlah 47 kes daripada kluster itu.

Dalam pada itu, Thaweesilp berkata lebih 10,000 rakyat Thailand terkandas di luar negara kerana sekatan perjalanan.

"Kerajaan akan membawa mereka pulang, bagaimanapun ia mengambil sedikit masa," katanya.

-- BERNAMA