Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina pada Ahad menggesa komuniti antarabangsa, termasuk Bank Pembangunan Islam (IDB) untuk meningkatkan tekanan kepada Myanmar, bagi memastikan penghantaran pulang beratus ribu etnik Rohingya ke negara itu.

Menurutnya, walaupun wujud kesan negatif terhadap sumber, ekologi dan penduduk tempatan, pihaknya membuka sempadan untuk memberi perlindungan kepada sejumlah besar pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan.

Justeru, katanya ketika berucap merasmikan Hab IDB Serantau di sini, Bangladesh berhak menggesa masyarakat antarabangsa mengambil langkah-langkah tertentu dalam mendesak Myanmar melaksanakan perjanjian itu.

Lebih 700,000 Rohingya secara berduyun-duyun menyeberangi sempadan negara jiran Bangladesh sejak Ogos tahun lalu, selepas pelbagai siri keganasan terhadap mereka.

Pada November lalu, Myanmar dan Bangladesh mencapai persetujuan untuk membuka jalan kepada penghantaran pulang yang akan dimulakan dalam tempoh dua bulan.

Bagaimanapun, prosesnya tidak pernah bermula.

Sebaliknya, Rohingya terus ditindas dan kekal melarikan diri menyeberangi sempadan, termasuk ke Bangladesh dan Malaysia.