Seorang lelaki mengaku membunuh anaknya sendiri dan menanam mayat di dalam hutan di daerah Na Mom di wilayah selatan Thailand.

Ketua Polis Songkhla, Thiewtawat Nakhonsri berkata suspek dikenal pasti sebagai Aroon Plodkaenthong, 41.

Tangkapan dibuat susulan penemuan mayat seorang lelaki tidak dikenali yang ditemukan disumbat dalam karung di Kampung Moo 9 pada 22 Mei lalu.

Mayat itu kemudian dikenal pasti sebagai Chanchai Plodkaenthong, 21, anak kandung Aroon.

Menurut laporan Bangkok Post, Aroon dan ibu Chanchai bercerai 20 tahun lepas.

Selepas bercerai, Aroon membawa anaknya Chanchai tinggal bersamanya di daerah Phatthalung Pa Bon di mana Aroon berkahwin dengan wanita lain dan dikurniakan seorang anak bersama wanita itu.

Chanchai terus tinggal di rumah tersebut bersama ibu tiri dan adik tirinya.

Chanchai kemudian mengahwini Cik Kung dan dikurniakan seorang anak. Kesemua ahli keluarga itu berkongsi rumah yang sama.

Namun, pada 30 April, Chanchai dan bapanya Aroon keluar menoreh getah tapi Aroon pulang sendirian dan tidak memberitahu di mana anaknya berada.

Apabila mayat Chanchai dijumpai, Cik Kung mengesyaki Aroon telah membunuh anaknya sendiri setelah dipercayai tahu mengenai hubungan sulit 'menantu dengan bapa mertua' itu.

Cik Kung memberitahu polis tentang hubungan sulitnya dengan Aroon, bapa mentuanya sendiri.

Maklumat Cik Kung membawa kepada penangkapan Aroon di rumahnya.

Menurut polis, ketika disoal siasat, Aroon mengaku membunuh Chanchai namun langsung tidak menyebut berkaitan hubungan sulit dengan menantunya.

Sebaliknya dia mendakwa anaknya ketagih dadah dan pernah beberapa kali cuba membunuhnya.