Berita  | Dunia

Bas bawa murid sekolah terhumban dalam gaung, 7 maut

Bas bawa murid sekolah terhumban dalam gaung, 7 maut
Bas malang itu dipercayai terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 50 meter dalam kejadian yang berlaku berhampiran lagun Huacarpay di wilayah Cusco. -Foto AP
TUJUH penumpang, tiga daripadanya murid 11 tahun, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas di Peru pada Rabu.

Bas malang itu dipercayai terbabas sebelum terhumban ke gaung sedalam 50 meter dalam kejadian yang berlaku berhampiran lagun Huacarpay di wilayah Cusco.

Menurut pihak berkuasa tempatan, bas berkenaan yang melalui Lebuhraya Pan-Amerika dipercayai dipandu lebih 80 kilometer sejam (km/j) di kawasan dengan had kelajuan 35km/j.

Sementara itu, media tempatan melaporkan 39 penumpang, 15 daripadanya murid sekolah rendah, cedera parah dan dibawa ke hospital.

Pasukan mencari dan menyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat sebelum dihantar ke Hospital Cusco bagi mendapatkan rawatan.