Sejumlah 25 penumpang termasuk tiga kanak-kanak berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki mereka dirempuh lori tangki simen sebelum terbalik di KM453 susur masuk ke hentian rehat Sungai Buloh tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira kira jam 12.15 malam Isnin itu, bas ekspres dari Ipoh menuju ke Singapura sedang memasuki hentian rehat itu diikuti sebuah lori tangki simen.

Lori simen itu bagaimanapun gagal dikawal lalu merempuh bas ekspres yang kemudian melanggar treler yang diletakkan di tepi susur masuk hentian rehat.

Sejurus kemalangan, pemandu lori dan pekerja penyelenggara yang berada di kawasan hentian rehat itu bergegas membantu mengeluarkan mangsa.

Seorang penumpang warga Singapura cedera parah manakala empat yang mengalami cedera ringan.

Semua penumpang dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut.

Hentian Rehat Sungai Buloh ditutup tiga jam untuk proses pengalihan bas dan lori terbabit.