Seorang bayi yang baru berusia 24 hari menderita patah tulang dan pendarahan sebelum meninggal dunia akibat didera ibu kandung dan bekas pasangannya.

Ketika ditemukan, bayi malang Stanley Davis patah 32 tulang rusuk, 9 tulang lengan dan patah kaki selain mengalami pendarahan dalam otak.

Susulan kejadian, ibu kandungnya Roxanne Davis, 30, serta bekas pasangan Samuel Davies, 24, ditahan dan didapati bersalah membunuh bayi tersebut.

Pemeriksaan terhadap kedua-dua tertuduh mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis kokaina dan ganja.

Roxanne dan Samuel dipercayai mendera Stanley dan membiarkan bayi itu menderita ketika mereka khayal setelah mengambil dadah.

Mahkamah dimaklumkan bahawa pasangan itu juga sering bertengkar selepas kelahiran Stanley.

Ketika kejadian, jiran terdengar jeritan dan bunyi sesuatu jatuh dari atas tangga sebelum bertindak menghubungi polis.

Hukuman terhadap kedua-dua mereka akan ditetapkan Mahkamah Crown Winchester pada 7 Disember ini.