AKIBAT kos pembedahan berkhatan terlalu tinggi, bayi lelaki berusia lima bulan mati apabila ibu bapanya melakukan proses berkhatan secara haram di rumah mereka di Bologna, Itali.

Bayi malang itu dikejarkan ke hospital berdekatan apabila 'prosedur pembedahan' menjadi teruk sebelum dia disahkan mati akibat serangan jantung.

Pasangan suami isteri yang juga ibu bapa bayi berkenaan dikenal pasti sebagai suspek berasal dari Ghana telah ditahan pihak berkuasa kerana didakwa membunuh bayi mereka.

Proses bedah siasat juga dilakukan bagi tujuan siasatan oleh pejabat pendakwa di wilayah Utara Reggio Emilia ke atas kedua-dua suspek berkenaan.

Isu proses berkhatan ke atas kanak-kanak Islam sentiasa menjadi perhatian di negara itu kerana untuk melakukan amalan berkenaan ia menelan kos yang tinggi.

Kebanyakan pendatang beragama Islam di Itali menginginkan anak lelaki mereka bersunat tetapi mempunyai masalah kewangan dan sukar mencari doktor yang berupaya melakukan proses tersebut.

Kos berkhatan mengikut prosedur pembedahan yang sah di hospital menelan perbelanjaan kira-kira 3,500 Pound (RM18,795) seorang dan jika dilakukan secara haram pula bayaran yang dikenakan ialah 17 Pound (RM91).

Menurut organisasi kesihatan Amsi, lebih satu pertiga daripada 5,000 proses berkhatan dilakukan secara haram di Itali.

Kes kematian akibat proses khatan secara haram bukan perkara baharu, sebaliknya, pada Disember lalu seorang budak lelaki mati selepas kehilangan darah yang banyak ketika menjalani proses berkhatan di rumah.

Selain kanak-kanak lelaki berkenaan, adik kembarnya juga hampir kehilangan nyawa selepas diselamatkan dengan pantas menerusi rawatan intensif.

Ketika kes yang berlaku hujung tahun lalu itu, seorang doktor yang juga warganegara Amerika Syarikat yang berasal dari Libya meminta bantuan kecemasan apabila kanak-kanak itu kehilangan banyak darah, lapor media Itali.