Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa berjaya 'menangkap' China yang masih bersekongkol dengan Korea Utara.

Menurut Trump, janji yang dilontarkan Beijing berhubung sekatan ekonomi ke atas Pyongyang jelas palsu selepas China didapati masih menjalankan urusan ekonomi melibatkan jual beli minyak dengan Korea Utara.

Video yang dikeluarkan satelit perisikan mengesan berlakunya 30 proses pemindahan minyak dari kapal milik China kepada kapal milik Korea Utara di sempadan perairan kedua-dua negara sejak Oktober lalu.

Kenyataan Trump itu dipetik dari laman twitter-nya yang menulis “Caught RED HANDED

"Saya amat kesal dengan China yang membenarkan minyaknya masuk ke Korea Utara, tiada lagi penyelesaian terbaik berdepan Korea Utara jika ini masih diteruskan."

China dalam kenyataan balasnya berkata, persetujuan sekatan ekonomi ke atas Korea Utara oleh Beijing tidak melibatkan urusan minyak.

Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Ren Guoqiang berkata Beijing telah menguatkuasakan sepenuhnya resolusi yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara.

"Sekali saya ingin ulangi bahawa China tegas dalam melaksanakan resolusi PBB.

"Situasi yang anda sebutkan benar-benar tidak wujud," jelasnya.

Pada Khamis, Setiausaha Negara Rex Tillerson menggesa Beijing untuk mengenakan sekatan ekonomi lebih tegas ke atas Pyongyang.

"China telah melakukan beberapa larangan import dan sekatan, tetapi ia boleh dan harus dibuat lebih banyak lagi," tulisnya di New York Times.

Majlis Keselamatan PBB minggu lalu sebulat suara melaksanakan sekatan baru ke atas Korea Utara, sebagai tindak balas terhadap ujian peluru berpandu balistik antara benua baru-baru ini.

Resolusi PBB yang digubal Amerika Syraikat bertujuan melarang hampir 90 peratus eksport petroleum ditapis ke Korea Utara dengan menetapkan hanya 500,000 tong setahun.

Jika provokasi berterusan Majlis Keselamatan PBB akan menggunakan kuasa yang ada untuk menyekat sepenuhnya minyak ke Pyongyang.