AHLI farmasi di Bali kini menangani kekurangan cecair pembasmi kuman di pulau percutian terkenal Indonesia itu dengan menggunakan minuman keras tempatan diperbuat daripada sawit.

Idea menggunakan minuman dikenali sebagai arak Bali itu datangnya dari Ketua Polis Bali, Petrus Reinhard Golose, yang bimbang dengan bekalan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol yang semakin sukar didapati.

Keadaan itu juga menyebabkan harga cecair berkenaan di pasaran melambung mengakibatkan kesukaran kepada orang ramai terutama penduduk tempatan.

Beliau kemudian mengumpulkan 4,000 liter minuman popular itu dengan meminta sumbangan pengeluar tempatan selain pasukannya turut mengeluarkan dana membeli bekalan tambahan, lapor AFP.

Kakitangan dan ahli farmasi di Universiti Udayana Bali kemudiannya diberi tanggungjawab mengubah arak itu menjadi cecair pembasmi kuman yang dapat menghapuskan koronavirus.

Antara tambahan yang dicampur dengan arak itu adalah minyak cengkih dan pudina bagi mengurangkan kerengsaan tangan.

Dalam masa seminggu, mereka berjaya menghasilkan cecair pembasmi kuman dengan kandungan alkohol sebanyak 96 peratus memenuhi standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menurut universiti berkenaan.

"Sehingga kini, kami telah menghasilkan 10,600 botol cecair pembasmi kuman dan polis Bali telah mengedarkannya kepada orang yang memerlukan," kata Dewa Ayu Swastini, Ketua Fakulti Farmasi universiti itu kepada AFP.

Bali telah melaporkan 49 kes positif COVID-19 dengan dua kematian sehingga kini.