Bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey berkata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah memecatnya untuk cuba melemahkan siasatan agensi itu.

Agensi itu sedang menyiasat kemungkinan adanya pakatan sulit oleh kempen Trump yang lalu dengan campur tangan Rusia, dalam usaha mempengaruhi pilihan raya presiden 2016.

Dalam inkuiri yang sedang berlangsung, Comey berkata pentadbiran Trump telah berbohong dan memfitnah beliau dan FBI selepas Trump memecatnya pada 9 Mei.

Semasa testimoni yang berlangsung selama dua jam pada Khamis itu, Comey memberitahu Jawatankuasa Siasatan Senat AS bahawa beliau percaya Trump telah mengarahkannya untuk menggugurkan siasatan FBI ke atas bekas Penasihat Keselamatan Negara itu, Michael Flynn, pada Februari.

Walau bagaimanapun, Comey tidak menyatakan sekiranya Trump terang-terang cuba menghalang proses keadilan tetapi berkata ia terpulang kepada peguam khas, Robert Mueller untuk memutuskannya.

Para pengkritik Trump berkata apa-apa usaha oleh presiden itu untuk menghalang siasatan FBI boleh dilihat seolah menghalang keadilan dari dilaksanakan.