Berita  | Dunia

Bekas perisik dan anak diracun, kes mirip Kim Jong-nam

Bekas perisik dan anak diracun, kes mirip Kim Jong-nam
Sergei Skripal dan anaknya Yulia ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah pusat membeli belah di Salisbury, Wiltshire, UK. -Foto Reuters
MUNGKINKAH apa yang menimpa bekas perisik Rusia Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia mirip apa yang menimpa Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2)?

Abang pemimpin tertinggi Korea Utara itu diracun dengan agen saraf yang dikenal pasti sebagai VX hingga menyebabkan kematiannya.

Skripal, 66 tahun, dan anaknya, Yulia, 33 tahun, dijumpai tidak sedarkan diri di sebuah pusat membeli-belah di Salisbury, Wiltshire, United Kingdom.

Kedua-duanya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sedang bersiar-siar di kawasan berkenaan sejurus sebelum kejadian.


Siasatan awal mendapati dua beranak itu terdedah kepada satu bahan asing hingga menyebabkan mereka kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Saksi menggambarkan dua beranak itu seperti tidak bernyawa, dengan Skripal tiba-tiba tidak bernafas dan kemudian muntah.

Anaknya Yulia pula ditemukan dengan mulut berbuih, mata terbuka luas dan tidak bergerak.

Anak Sergei Skripal, Yulia menetap di Rusia dan sering melawat bapanya di UK
Dua anggota polis yang menjumpai mereka juga dilaporkan mengalami simpton gatal mata serta sesak nafas dan dirawat di hospital.

Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson dalam satu kenyataan menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya wujud bukti kukuh penglibatan Rusia dalam kes ini.

Keluarga rapat Skripal mendedahkan bekas perisik itu sering berkongsi kebimbangan jadi mangsa agen perkhidmatan rahsia Rusia yang memburunya pada bila-bila masa.
 
Malah, isteri Skripal, abang dan anak lelakinya meninggal dunia dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, dan semuanya dikaitkan dengan situasi misteri.

Skripal, berpangkat Kolonel, merupakan bekas anggota risikan rahsia tentera.

Sergei Skripal merupakan bekas anggota risikan tentera Rusia berpangkat Kolonel
Dia dihukum penjara 13 tahun selepas disabit kesalahan mengintip untuk agensi risikan UK, MI6.

Bagaimanapun pada 2010, Skripal dan tiga tahanan yang lain dibebaskan Kremlin bagi perjanjian pertukaran dengan 10 perisik Rusia yang ditahan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Skripal kemudian diterbangkan ke UK.