Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George H.W Bush, 93 tahun, dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan akibat jangkitan dalam darah.

Jurucakap pejabatnya, Jim McGrath dalam satu kenyataan berkata, Bush dimasukkan ke Hospital Methodist Houstan pagi kelmarin.

“Beliau bertindak balas dengan baik terhadap rawatan dan semakin beransur pulih,” jelas Jim McGrath.

Terdahulu, Bush dilihat berkerusi roda pada hari upacara pengebumian isterinya, Barbara Bush yang meninggal dunia minggu lalu.

Laporan media tempatan mendapati bekas presiden yang tertua di negara itu juga pernah dimasukkan ke hospital yang sama pada tahun lalu kerana mengalami batuk yang teruk.

Bush adalah bapa kepada bekas Presiden Republik, George W Bush yang telah berkhidmat selama dua penggal sejak tahun 2001 hingga 2009, dan juga bekas Gabenor Florida, Jeb Bush yang gagal menjuarai pencalonan Republik 2016.