Berita  |  Dunia

Bekas Presiden Korea Selatan didakwa dalam skandal rasuah

Bekas Presiden Korea Selatan didakwa dalam skandal rasuah
Park juga didakwa mengambil rasuah berjumlah 29.8 bilion won daripada Lee sebagai imbuhan kerana memberi sokongan kepada pelantikan jawatan beliau. -Foto REUTERS/Ahn Young-Joon/Poo
SEOUL: Bekas presiden Korea Selatan, Park Geun-hye dan Pengerusi Lotte Group, Shin Dong-bin didakwa pada Isnin berhubung pembabitan dalam skandal rasuah berprofil tinggi.

Syarikat gergasi peruncitan Lotte menjadi konglomerat kedua terperangkap dalam skandal politik selepas CEO Samsung Group Jay Y. Lee yang ditahan kerana disyaki terlibat merasuah Park dan rakannya Choi Soon-sil.

Pendakwaraya dalam satu kenyataan menuduh Park bersekongkol dengan Choi untuk menerima 7 bilion won (RM27 juta) daripada Lotte sebagai bantuan.
Park juga dituduh menyalah guna kuasa dan memeras ugut syarikat-syarikat gergasi untuk menyumbang dana kepada yayasan bukan berasaskan keuntungan, kata pendakwaraya.

Park juga didakwa mengambil rasuah berjumlah 29.8 bilion won (RM112 juta) daripada Lee sebagai imbuhan kerana memberi sokongan kepada pelantikan jawatan Lee, menurut kenyataan pendakwaraya.

Perbicaraan Park dijangka bermula minggu depan dan beliau kekal dalam penjara sepanjang tempoh perbicaraan yang mungkin berlanjutan hingga enam bulan.

Geun-hye walau bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.