Tutup

Berita  | Dunia

Belum sempat dikorban, kambing ditemui mati dengan kesan luka yang teruk

Belum sempat dikorban, kambing ditemui mati dengan kesan luka yang teruk
Dua ekor kambing itu ditemui dengan penuh kesan luka yang teruk dan kemudian disyaki telah menjadi santapan beruang madu. - Gambar hiasan/ EPA/SWEN PFOERTNER
SUMATERA: Dugaan pada sambutan Aidiladha, apabila dua ekor kambing yang sepatutnya dikorbankan sempena Hari Raya Haji hari ini tidak kesampaian selepas ditemui mati.

Menurut laporan portal Kompas, kematian dua ekor kambing yang berlaku di Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia itu dipercayai kerana telah diserang oleh beruang madu.
Jika diikutkan, memang terdapat banyak kesan tapak kaki binatang yang seolah-olah menyerupai seekor beruang yang mempunyai nama latin ‘Helarctos Malayanus’ itu di sekitar tempat penternaknya menempatkan kambingnya sebelum dikorban.

Menurut Ketua Pusat Pemuliharaan Sumber Alam Semula Jadi Tanah Datar, Ansarul, kematian dua ekor kambing ini menjadikan jumlah kematian haiwan ternakan penduduk di situ meningkat.
Ansarul berkata, berdasarkan kepada pemerhatiannya, kematian dua ekor kambing korban itu adalah tidak lain tidak bukan angkara beruang madu.

“Sebelum ini, terdapat juga kes kematian haiwan ternakan seperti itik, ayam dan juga kambing dan kesemuanya dipercayai akibat serangan beruang madu,” kata Ansarul.

"Dua ekor kambing ini merupakan milik Rosmidar, 50, yang akan dikorbankan pada hari ini. Namun, sebelum dikorbankan, kambingnya sudah mati," kata Ansarul lagi.

Menurut Rosmidar, kambingnya itu ditemui dengan penuh kesan luka yang teruk dan kemudian mengesyaki telah menjadi santapan beruang madu terbabit pada Sabtu.

Kes kematian haiwan ternakan kerana diserang beruang madu ini dikatakan telah berlaku sejak bulan Julai lalu lagi, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan seperti memasang perangkap namun ia masih belum berhasil. 

Tambah Ansarul, masalah gangguan habitat asli di kawasan itu juga mungkin memainkan faktor berlakunya beruang madu itu berkeliaran dan mencari mangsa.

Ini kerana kawasan hutan bukit di sekitar lokasi yang asalnya menjadi hutan lindung sudahpun terjejas.

Ekoran itu, pihak Pusat Pemuliharaan Sumber Alam Semula Jadi daerah itu meminta agar penduduk setempat lebih berhati-hati sekiranya ingin memasuki kawasan ladang ataupun hutan dan perlu lebih berwaspada dengan haiwan ternakan masing-masing. - Agensi