Gara-gara berang cinta ditolak, seorang lelaki di China dilapor menghempas seekor anak kucing berusia dua bulan berkali-kali hingga mati.

Lelaki yang dikenali sebagai Zhang dari Nanjing itu telah membeli seekor anak kucing berusia dua bulan di sebuah kedai haiwan peliharaan pada harga kira-kira RM1,240, lapor portal Xuehua.

Hasratnya ialah untuk menjadikannya sebagai hadiah luahan rasa cinta kepada gadis pujaan hatinya yang juga bertugas sebagai penyambut tetamu di syarikat di mana dia bekerja.

Namun, malang buatnya apabila wanita yang didambanya itu telah menolak cinta Zhang, tetapi masih sudi menerima hadiah pemberiannya.

Walau bagaimanapun, beberapa hari kemudian, wanita berkenaan telah memulangkan anak kucing itu atas alasan tidak tahu menjaganya.

Pada saat itu, keadaan anak kucing itu dilihat semakin merosot akibat kebuluran selama beberapa hari.

Zhang kemudian membawa anak kucing tersebut kembali ke kedai haiwan dan meminta bantuan salah seorang pekerja di sana untuk menjaga haiwan comel itu buat sementara waktu.

Pekerja bersetuju untuk membantu setelah kasihan melihat ‘si comel’ itu berada dalam keadaan yang sangat lemah.

Beberapa hari berikutnya, Zhang kembali lagi ke sana dan tanpa segan silu meminta agar haiwan itu terus dijaga terus serta meminta wang dipulangkan.

Namun permintaannya ditolak.

Zhang yang tidak berpuas hati terus berkata, “Bagi anak kucing itu, biar saya uruskannya sendiri.”

Dia terus berjalan keluar dari kedai membawa anak kucing itu yang diletak di dalam sangkar dan kemudian bertindak menghempas sangkar itu ke lantai.

Tanpa menghiraukan haiwan itu mengiau kesakitan, Zhang terus menghempasnya berkali-kali hingga anak kucing itu mati.

Mendengar kekecohan yang berlaku di luar kedai, beberapa orang pekerja bergegas keluar bagi menghalang, namun mendapati anak kucing berkenaan sudah tidak sedarkan diri.

Zhang sempat melarikan diri sebaik sahaja pekerja kedai haiwan itu menghubungi pihak polis.

Kisah penderaan yang tular ini telah membangkitkan kemarahan ramai dan lelaki berkenaan turut menjadi bahan kutukan akibat perbuatan tidak berperikemanusiaannya mendera seekor haiwan kecil yang tidak berdosa.