BEBERAPA hari selepas negarawan Indonesia, BJ Habibie dikebumikan, orang ramai berpusu-pusu mengunjungi pusara Allahyarham di Taman Pemakaman Pahlawan Nasional, Kalibata, Jakarta Selatan.

Kunjungan tidak putus-putus itu sememangnya sudah dijangka kerana sepanjang hayatnya, bekas Presiden ketiga negara itu amat disayangi dan dihormati oleh segenap lapisan rakyat.

Namun, di sebalik hasrat baik dan murni masyarakat memberi penghormatan itu, ada tindakan cela yang disifatkan tidak sepatutnya dilakukan pengunjung.

Merakamkan foto secara 'selfie' di pusara selain memeluk batu nisan Allahyarham disifatkan sebilangan besar pihak sebagai tidak manis.

Antara personaliti tanah air yang mengkritik tindakan itu ialah penyanyi terkenal, Anggun Cipta Sasmi (Anggun C. Sasmi) yang mengungkapkan rasa sedihnya melihat keghairahan masyarakat merakam foto 'selfie' di pusara tokoh nasionalis itu.

Dalam entri di Instagramnya, penghibur kelahiran Indonesia yang menempa kemasyhuran di Perancis itu menulis, masyarakat harus sedar etika yang perlu ada dalam adab kehidupan.

"Mungkin sudah saatnya ada edukasi untuk para “Generasi Selfie” yang harus belajar menilai situasi dan melihat konteks.

"Ada saat untuk bisa selfie dan untuk tidak. Ada banyak hal yang bisa diposting tapi banyak juga yang tidak perlu," tulis Anggun dalam entri yang beserta foto pusara Allahyarham BJ Habibie.

Maksud penulisan Anggun itu, jelas memberi peringatan kepada orang ramai agar lebih sensitif terhadap persekitaran serta bijak membuat pertimbangan sebelum melalukan sesuatu tindakan termasuk merakamkan foto 'selfie' di pusara.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa Indonesia turut menerima laporan mengenai 'pesta selfie' di pusara Habibie yang mencetus kurang senang kepada banyak pihak.

Susulan itu, Menteri Sosial, Agus Gumiwang Kartasasmita berkata, pihak pengurusan taman pemakaman itu telah mengerahkan pengawal keselamatan untuk mengawal agar perbuatan 'selfie' tidak lagi dilakukan pengunjung.

"Kita tempatkan dua orang pengawal di pusara selama sebulan untuk memastikan pengunjung hanya berziarah dan mendoakan Pak Habibie (Allahyarham) bukan hanya 'berselfie' dengan batu nisan," kata Agus.

Kementerian Sosial merupakan kementerian yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Taman Pemakaman Pahlawan Nasional, Kalibata.

Dengan penempatan pengawal keselamatan, Agus berharap para pengunjung akan memanjatkan doa kepada Allahyarham Habibie.

"Kami tidak pernah berhasrat menyulitkan pengunjung yang ingin mendoakan Pak Habibie di sana, bahkan kami berharap agar masyarakat datang untuk mendoakan beliau," jelas Agus lagi.

Sementara itu, keluarga Allahyarham Habibie pula dalam reaksi terhadap perbuatan 'selfie' oleh pengunjung menegaskan, perkara itu tidak mendatangkan sebarang masalah buat mereka.

"Kalau masalah itu (selfie), sebetulnya hak orang. Boleh saja untuk 'selfie' kerana mungkin ramai yang teringin untuk bergambar dengan Pak Habibie. Oleh kerana tidak dapat bergambar dengan tuan punya badan lalu bergambar saja dengan kubur.

"Kalau mahu berdoa silakan, kalau mahu 'selfie' juga tiada masalah, ini kan zaman moden," kata anak lelaki bongsu Allahyarham, Thareq Kemal Habibie.

Allahyarham BJ Habibie atau nama sebenarnya Bacharuddin Jusuf Habibie menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun pada 11 September lalu.

BACA: "Setiap lirik saya tulis buat saya sesak dan takut" - Melly Goeslaw kongsi kenangan Habibie & Ainun