Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menembak kakaknya di belakang kepala akibat berebut alat kawalan permainan video, di utara Mississippi, Amerika Syarikat.

Menurut laporan media antarabangsa, kanak-kanak itu berang apabila kakaknya, 13 tahun, enggan memberikan alat kawalan itu kepadanya.

Tembakan itu pula tepat mengenai otak mangsa. Mangsa dikejarkan ke Le Bonheur's Children's Hospital di Memphis, Tennessee bagi mendapatkan rawatan tetapi telah disahkan meninggal dunia.

Kejadian itu dilapor berlaku pada Sabtu lepas tetapi hanya disebarkan kepada media semalam.

Ketika kejadian, ibu mereka dilaporkan sedang menyuapkan makanan kepada anaknya yang lain.

Pihak berkuasa sedang menyiasat bagaimana kanak-kanak lelaki itu boleh mendapatkan pistol.

Tragedi menyayat hati itu juga mendapat reaksi daripada kawasan kejiranan yang turut mempersoalkan bagaimana kanak-kanak itu tahu menggunakan pistol dengan mudah.

Kata Sherif Cecil Cantrell dari Monroe County, beliau tidak mengetahui tindakan yang bakal dikenakan kepada suspek.

"Kanak-kanak lelaki itu hanya berusia sembilan tahun. Saya beranggapan, dia mungkin meniru aksi di televisyen atau permainan video.

"Saya juga tidak tahu sama ada kanak-kanak itu sedar apa yang dia lakukan. Saya tidak mampu menjawabnya. Kejadian ini adalah satu tragedi," katanya.