ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 9 Julai 2020.

1) Bali dibuka semula selepas tiga bulan ditutup

Pulau peranginan popular di Indonesia, Bali dibuka semula pada Khamis selepas tiga bulan ditutup.

Ia sekali gus membolehkan penduduk tempatan dan pelancong asing yang terkandas di pulau peranginan itu memulakan semula aktiviti sosial sebelum ketibaan antarabangsa pada September nanti.

2) COVID-19: 165 kes baharu di Victoria, kluster kolej dikenal pasti

Sebanyak 165 kes baharu COVID-19 direkodkan di wilayah Victoria, Australia dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan wilayah berkenaan, daripada jumlah itu enam kes baharu direkodkan dalam kluster Al-Taqwa College.

3) Kes COVID-19 di Filipina kini lepasi angka 50,000

Kes positif COVID-19 di Filipina meningkat melepasi angka 50,000 pada Rabu, kedua tertinggi di Asia Tenggara.

4) COVID-19: Indonesia bakal buka panggung wayang di sebalik peningkatan kes

Di sebalik peningkatan kes positif COVID-19, Indonesia mengambil pendekatan menyelamatkan sektor ekonominya dengan membuka semula beberapa sektor kesenian dan kebudayaan termasuk panggung wayang.

5) Angka kematian lebih 545,000, pertambahan 5,000 dalam sehari

Angka kematian akibat COVID-19 global meningkat 5,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Statistik daripada Johns Hopkins University menunjukkan jumlah kumulatif kematian global kini mencecah 545,000 kes.

6) Kes positif COVID-19 dunia kini hampir cecah 12 juta

Jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia merekodkan pertambahan 200 ribu kes dalam tempoh 24 jam.

Menurut data terbaharu daripada Johns Hopkins University, jangkitan setakat pagi Khamis mencecah 11.91 juta kes.

7) Mumbai mula lakukan ujian rumah ke rumah tanpa preskripsi doktor

Pihak berkuasa Mumbai, salah satu bandar yang paling teruk terjejas akibat COVID-19 di India, mengarahkan orang ramai bersedia menerima kunjungan pasukan perubatan untuk melakukan ujian saringan dari rumah ke rumah tanpa preskripsi doktor.

8) Penutupan Melbourne adalah perlu - PM Australia

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menekankan, penutupan Melbourne yang merupakan bandar kedua terbesar di negara itu adalah perlu melalui langkah sekatan pergerakan.

9) Dakwa rantai kayu putih boleh "bunuh" COVID-19, menteri Indonesia dikecam

Menteri Pertanian Indonesia dikecam pakar kesihatan kerana mendakwa rantai kayu putih mampu membantu mencegah penularan COVID-19.

10) Pelakon Glee, Naya Rivera hilang di tasik, anak 4 tahun terbiar atas bot

Naya Rivera, pelakon siri muzikal popular, Glee, dikhuatiri lemas selepas pihak berkuasa menemui anaknya berusia empat tahun berseorangan dalam sebuah bot yang disewa di Tasik Piru, selatan California pada Rabu.