PIHAK berkuasa Indonesia merancang menetapkan bayaran yuran sebanyak AS$1,000 bagi pelancong yang ingin melihat dari dekat habitat biawak Komodo di Pulau Komodo.

Ini ekoran keputusan membatalkan rancangan menutup Pulau Komodo sepenuhnya, yang pada mula dirancang penutupan selama setahun bermula Januari tahun hadapan.

Cadangan penutupan diambil bertujuan mengelak kehadiran pelancong yang dianggap mengganggu habitat dan menimbulkan kesan negatif terhadap pembiakan biawak Komomo tersebut.

Namun setelah difikirkan semula, Kementerian Alam Sekitar berserta pihak Gabenor yang mengawal selia pulau Komodo bersetuju untuk terus membuka akses dan pada waktu yang sama mengambil langkah lebih efektif menggalak pembiakan biawak Komodo.

Sebagai langkah pengawalan, lawatan hanya dibuka kepada pelancong yang perlu membayar yuran keahlian pada kadar AS$1,000.

Ini merupakan peningkatan bayaran lebih 9,000 peratus dari kadar AS$10 yang dikenakan kepada setiap pelawat sebelum ini.

Pulau Komodo menerima 176,000 pelawat tahun lalu berbanding 44,000 pengunjung pada tahun 2008.

Pulau itu juga mempunya seramai 2,000 orang penduduk tetap.

Biawak Komodo merupakan spesies biawak paling besar di dunia dan mampu mencapai 3 meter panjang, mempunyai gigi tajam dan gigitan yang beracun.

Pulau Komodo merupakan habitat kepada 1,700 ekor biawak Komodo dan kira-kira seribu lagi bebas merayau di Pulau Rinca yang berhampiran.