Mercu tanda Britain, Big Ben, akan disenyapkan pada minggu depan bagi tujuan pemulihan yang mengambil masa empat tahun.

Menara ikonik itu akan dihentikan selepas tengah hari pada 21 Ogos bagi melindungi pekerja semasa projek pembaikan bernilai USD38 juta itu dijalankan.

Projek berkenaan dijangka siap pada 2021.

Menurut salah seorang mekanik, kerja-kerja pembaik pulih termasuk membersihkan dan memeriksa loceng seberat 13.7 metrik tan itu.

Big Ben pernah dihentikan beberapa kali sejak pertama kali dibunyikan pada tahun 1859, namun projek pemulihan ini adalah tempoh yang paling panjang.

Bagaimanapun, pegawai parlimen memaklumkan mereka akan memastikan loceng masih berbunyi pada majlis-majlis utama, seperti malam tahun baru dan peringatan hari Ahad.