Sejumlah 11 lagi pasar di Beijing diarah tutup sementara susulan kebimbangan penularan kes COVID-19 dari rangkaian pusat sumber makanan di bandar itu.

Penularan virus itu bermula dengan kes jangkitan dua pekerja Pusat Penyelidikan Daging yang positif COVID-19 dan telah mengunjungi pasar Xinfadi berkenaan Jumaat lalu.

Sehingga kini, 90,000 penduduk terjejas susulan pengumuman perintah berkurung yang dikuatkuasakan semula di Beijing.

Ia menyebabkan penduduk disekat daripada keluar dari bandar itu bagi mengelak penularan COVID-19 ke wilayah lain di China.

BACA: Pasar borong besar di Beijing ditutup susulan kes baharu COVID-19

Setakat ini, 40 lagi kes baharu COVID-19 dikesan di China dengan 27 daripadanya adalah di Beijing, menjadikan jumlah kumulatif kes virus berkenaan sejak Jumaat adalah sebanyak 106 kes.

Tiada kes kematian baharu dilaporkan setakat ini dengan 210 orang masih menerima rawatan.

Kebanyakan kes melibatkan rantaian jangkitan dari Pasar Xinfadi dan kebanyakan peniaga dan individu yang mengunjungi premis berkenaan diarahkan menjalani saringan COVID-19.

Tiga kes baharu turut dikesan di Pasar Yuquandong di Wilayah Haidian, China.

Dalam pada itu, daging dan makanan laut turut diperiksa bagi memastikan tiada jangkitan COVID-19 dikesan melalui sumber makanan berkenaan.

China sebelum ini hampir bebas sepenuhnya daripada COVID-19 sejak mula dilanda virus itu pada akhir tahun lalu bermula di Wuhan.

Beijing pada Isnin turut menangguhkan pembukaan semula sekolah rendah susulan penularan kes baharu COVID-19.