Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Bintang tenis Australia berdarah kacukan Melayu-Greek tawar bantuan berikutan COVID-19

Bintang tenis Australia berdarah kacukan Melayu-Greek tawar bantuan berikutan COVID-19
Kyrgios sering dilanda kontroversi namun menunjukkan simpati tinggi kepada golongan tidak bernasib baik. - Gambar fail/ AP.
WALAUPUN sering terpalit kontroversi kerana sifat panas baran dan kerap hilang kawalan ketika beraksi, pemain tenis Australia, Nick Kyrgios, yang berdarah kacukan Melayu-Greek, menunjukkan sisi murni dirinya.

Bintang Australia yang ibunya berasal dari Malaysia itu, menyentuh hati peminatnya dan netizen apabila menawarkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang menghadapi masalah berikutan perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19.
"Jangan rasa takut atau malu untuk menghantar mesej kepada saya, saya senang berkongsi apa yang ada dan boleh menyerahkan barang-barang keperluan ke pintu rumah anda," katanya menerusi laman Instagramnya pada Isnin.

Kyrgios, 25, membuat pesanan itu kerana menyedaari pelbagai kesukaran menimpa rakyat Australia ekoran perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Mac lalu bagi memerangi wabak COVID-19 di negara berkenaan.
Pemain tenis ranking ke-40 dunia yang dilahirkan di Canberra itu meminta pengikut dan penyokongnya agar jangan tidur dalam keadaan perut kosong dalam hantaran Instagram yang meraih lebih 92,000 tanda suka.

“Walaupun hanya untuk sekotak mi segera, sebuku roti atau susu, saya akan menghantarnya ke pintu rumah anda,” katanya.

Ketika ini, perusahaan dan perniagaan tidak penting diarahkan tutup susulan perintah kawalan pegerakan yang dikuatkuasakan pada 23 Mac lalu selepas negara tu mencatatkan peningkatan kes positif wabak COVID-19 sebanyak 1,110 kes.

Kyrgios sebelum ini pernah mendermakan AUS$20,000 yang dimenanginya dalam perlawanan Terbuka Australia bagi membantu mangsa malapetaka kebakaran hutan di Australia awal tahun ini.

Beliau dilaporkan sedang meluangkan masa di kampung halamannya di Canberra berikutan penggantungan perlawanan tenis di seluruh dunia sehingga pertengahan bulan Julai bagi mematuhi perintah kawalan pergerakan di negara itu.

Sehingga kini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Australia adalah sebanyak 5,895 kes dengan 46 kematian.



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Real talk

A post shared by NK (@k1ngkyrg1os) on