BOEING memecat ketua pegawai eksekutif Dennis Muilenburg selepas gagal menguruskan kesan daripada tragedi yang mengakibatkan ia menggantung pengeluaran pesawat MAX 737.

Dalam masa sama, keputusan berkenaan diumumkan ekoran kesan kepada reputasi Boeing yang buruk dalam kalangan syarikat penerbangan dan penguat kuasa.

Laporan Reuters menyebut Muilenburg dipecat, manakala The Associated Press menyebut dia meletak jawatan.

Boeing adalah pengeksport terbesar Amerika Syarikat.

Keputusan untuk menggantung pengeluaran pesawat MAX 737 dijangka memberikan kesan negatif 0.5 peratus kepada KDNK Amerika Syarikat pada suku pertama 2020.

Kegagalan menguruskan tragedi yang menimpa Lion Air dan Ethiopian Airlines telah mengakibatkan kerugian sebanyak AS$9 bilion kepada Boeing dan pembekal.

Susulan daripada itu, Boeing melantik bekas timbalan pengerusi General Electric, David Calhoun sebagai ketua pegawai eksekutif baharu bermula 13 Januari.

Dalam kenyataannya, Boeing menjelaskan penukaran ketua pegawai eksekutif ini penting untuk mengembalikan keyakinan kepada syarikat berkenaan.

Operasi pesawat 737 MAX sebelum ini digantung sejak Mac selepas dua tragedi yang mengorbankan 346 orang.

Ketika ini Boeing mempunyai lebih 400 pesawat 737 MAX yang digantung perkhidmatan.

Muilenburg sebelum ini mengaku yang Boeing gagal memberikan juruterbang lebih maklumat berkenaan sistem antipegun pesawat tersebut.

Sebelum ini United Airlines menyatakan ia tidak akan menggunakan Boeing 737 MAX dalam jadual penerbangan sehingga Jun.

Dalam masa sama, pengeluar komponen Spirit Aerosystems yang turut mempunyai operasi di Malaysia mengumumkan hanya akan akan meneruskan pembekalan kepada Boeing hingga Januari.