SYARIKAT Boeing Co memperuntukan AS$50 juta sebagai pampasan kepada ahli keluarga mangsa dua nahas melibatkan pesawat model 737 MAX.

Pengurusan agihan pampasan itu akan diuruskan syarikat ken Feinberg yang pernah menguruskan pempasan dalam kes serangan penganas di World Trade Centre (WTC) dan letupan dan tumpahan minyak Deepwater Horizon.

Feinberg berkata, syarikat itu akan memulakan proses pembentukan protokol untuk tuntutan bagi ahli keluarga yang layak.

Dana tersebut merupakan sebahagian dari dana AS$100 juta yang disediakan Boeing selepas dua pesawat milik Ethiopian Airlines dan Lion Air terhempas mengakibatkan 346 orang terbunuh.

737 MAX kini masih lagi digantung bagi menanti penambahbaikan perisian oleh Boeing, namun syarikat itu memberi gambaran ia akan mengambil masa sehingga November.

Boeing pada masa sama mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang.

Dua tragedi 737 MAX itu didapati berpunca dari sistem perisian terbaharu Boeing iaitu MCAS yang menyebabkan hidung pesawat menjunam secara tiba-tiba.