Seorang kanak-kanak antara dua yang maut dalam satu insiden letupan bom di satu pesta jalanan di selatan Filipina, lewat malam tadi.

Insiden yang berlaku di pekan Isulan, daerah Sultan Kudarat di rantau Soccsksargen, Mindanao itu turut menyebabkan 37 lagi cedera.

Menurut pihak tentera Filipina, letupan tersebut adalah dari sebutir bom buatan tangan yang disorok di bawah sebuah motosikal yang diparkir di hadapan sebuah kedai baju.

Memetik laporan Reuters, jurucakap Bahagian Infantri Ke-6 Tentera Filipina, Arvin Encinas, berkata Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) – kumpulan pengganas yang menyatakan sokongan kepada Daish – disyaki bertanggungjawab ke atas insiden terbaru ini.

Antara mangsa yang cedera dalam insiden letupan bom tersebut. - Twitter/@philredcross
Insiden tersebut berlaku hanya sebulan selepas satu lagi bom meletup dalam sebuah van di Pulau Basilan, Filipina yang meragut nyawa 11 mangsa, termasuk empat orang awam.