Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson mengadakan lawatan ke England Utara pada Sabtu untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Parti Konservatif yang baru dilantik.

Pada masa sama, Johnson bersedia untuk memulakan proses pada minggu hadapan bagi menolak perundingan Brexit menerusi Parlimen bagi memastikan Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Jan, 2020.

"Terima kasih kepada semua kerana hadir. Terima kasih atas usaha gigih anda yang luar biasa. Tiada siapa yang mahu pilihan raya ini berlarutan sehingga Krismas, tetapi apa yang telah anda lakukan, cukup luar biasa.

"Anda telah mengubah landskap politik. Anda telah mengubah Parti Konservatif kepada lebih baik dan anda telah mengubah masa depan negara kita untuk jadi lebih baik," kata Johnson dalam ucapannya.

Pada Jumaat, keputusan pilihan raya umum UK menunjukkan Parti Konservatif memenangi 364 kerusi berbanding 203 kerusi dimenangi Parti Buruh.

Ia membabitkan 649 kerusi daripada 650 kerusi keseluruhan.

Keputusan itu juga sekali gus membenarkan rancangan Johnson yang berkempen dengan manifesto tunggalnya iaitu untuk "merealisasikan Brexit."