Seorang lelaki di China disaman 1,000 yuan (kira-kira RM620) setelah didapati mengecat semula arah pada jalan raya di bandar Lianyungang, Jiangsu.

Lelaki berusia 28 tahun dan hanya dikenali dengan nama Cai itu dilapor berbuat demikian untuk melancarkan perjalanannya menaiki bas ke tempat kerja.

The Modern Express dalam laporannya menyebut Cai memberitahu polis yang dia kecewa apabila terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya menyebabkan dia sering lewat ke pejabat.

Cai dirakam kamera pada 27 September membawa satu tin cat putih dan mula mengecat sendiri panah arah di atas jalan raya untuk melencongkan trafik.

"Saya lihat laluan lurus sering padat dengan kenderaan, manakala laluan untuk belok ke kiri pula ada banyak ruang," katanya kepada polis.

"Saya ingat dengan mengubah panah arah pada jalan akan melancarkan perjalanan saya," kata Cai lagi.