Britain tidak bermusuh dengan sesiapa dalam cubaan serangan menggunakan agen saraf ke atas bekas perisik Rusia Sergei Skripal, 66 tahun, dan anak perempuannya, Yulia Skripal, 33 tahun, yang kini sakit tenat di hospital.

Perdana Menteri Britain Theresa May berkata, sebaliknya Rusia yang telah melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, termasuk undang-undang konvensyen senjata kimia.

"Saya ulangi hari ini bahawa kita tidak mempunyai perselisihan dengan orang-orang Rusia, malah orang Rusia telah menjadikan negara ini rumah mereka,

"Mereka ini telah mematuhi undang-undang kita dan membuat sumbangan kepada masyarakat kita dan ia akan sentiasa dialu-alukan." jelasnya ketika berucap di hadapan ahli Parti Konservatif pimpinannya pada Sabtu.

May menyalahkan Rusia atas serangan agen saraf terbabit yang didakwa dilakukan pada 4 Mac lalu.

May turut memberi amaran bahawa Britain tidak akan bertolak ansur dengan ancaman kepada kehidupan rakyat Britain dan orang lain di tanah British dari kerajaan Rusia.

"Kami yakin dengan sokongan kuat yang kami terima daripada rakan-rakan dan sekutu kami di seluruh dunia, dari Amerika Syarikat, NATO, dan Kesatuan Eropah, dari rakan PBB dan negara Komanwel kami." tambahnya.

Awal minggu ini, Britain mengumumkan pengusiran 23 diplomat Rusia dan penggantungan hubungan peringkat tinggi susulan serangan berkenaan.