Seorang bapa di China ditahan selepas mencampakkan anak perempuannya yang baru lahir ke tebing hanya kerana dia mahukan anak lelaki.

Ketika kejadian pada minggu lalu, lelaki dikenali sebagai Li tersebut dilaporkan 'melarikan' bayi tersebut yang baru dilahirkan kira-kira enam jam di sebuah hospital di Gaozhou, wilayah Guangdong dan memasukkannya ke dalam beg nilon sebelum dilempar ke dalam hutan.

Bagaimanapun, bayi tersebut terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius kerana tersangkut pada dahan pokok sebelum diselamatkan kira-kira 12 jam kemudian selepas kehilangannya dilaporkan doktor di Pusat Kesihatan Magui.

Susulan siasatan dilakukan pihak berkuasa, lelaki tersebut telah diberkas dan mendedahkan lokasi dia membuang anaknya.

Rakaman yang menjadi tular menunjukkan bayi tersebut dikeluarkan daripada beg tersebut dan diperiksa sebelum dibawa ke hospital.

Dia dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan kini berada di bawah jagaan ibunya.

BACA: Bapa di China tergamak jual bayi berusia 10 hari

Menurut Li yang sudah mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki, dia kecewa kerana anak keempatnya adalah perempuan.

Dia memberi alasan keluarganya sangat miskin dan mengalami masalah kewangan yang teruk. - Daily Mail