POLIS sedang menyiasat insiden seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang berjaya melepasi kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Heathrow dan menaiki penerbangan British Airways ke Los Angeles.

Kehadiran budak lelaki itu yang bersendirian, hanya disedari di dalam pesawat selepas seorang kru kabin meminta untuk melihat pas masuknya.

Tetapi dia enggan bekerjasama dan dibawa keluar oleh pihak berkuasa.

Menurut The Telegraph, budak lelaki itu adalah rakyat Belanda dan tidak mempunyai dokumentasi dan berkemungkinan tiba di lapangan terbang sebagai penumpang transit.

Berikutan insiden itu, pesawat itu terpaksa dikosongkan dan penerbangan ditangguhkan untuk membolehkan pemeriksaan keselamatan dilakukan sekali lagi.

"Dia tidak mempunyai tiket atau sebarang dokumen perjalanan dan tidak ditemani orang dewasa," itu kenyataan pihak berkuasa seperti dipetik portal The Sun.

"Kami telah memohon maaf kepada para penumpang kami atas kelewatan penerbangan mereka.

"Keselamatan para pelanggan dan kru kami sentiasa menjadi keutamaan dan semua penumpang tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan.

"Kami menjalankan pemeriksaan tambahan dan kami membantu polis dalam siasatan mereka," kata British Airways dalam satu kenyataan.