Berita  | Dunia

Budak 2 tahun antara 3 terbunuh dalam rompakan kedai emas

Budak 2 tahun antara 3 terbunuh dalam rompakan kedai emas
Paparan CCTV menunjukkan suspek memasuki ke dalam premis berkenaan dengan menggunakan topeng hitam. -Foto Royal Thai Police Crime Suppression Division via A
BANGKOK: Tiga terbunuh termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dalam rompakan di sebuah kedai emas di Bangkok.

Dua lagi mangsa ialah pengawal keselamatan dan jurujual, kata polis sepertiman dilapor agensi berita AFP.

Menurut pihak berkuasa, empat yang lain juga parah apabila penyerang menggunakan pistol di sebuah pusat membeli-belah di daerah Lopburi pada malam Khamis.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan penyerang menyerbu masuk ke premis berkenaan sebelum melepaskan tembakan.

Dia kemudian dilihat melompat di bahagian kaunter dan mengaut beberapa dulang berisi barang kemas dianggarkan bernilai 500,000 baht (kira-kira RM67,200).

Timbalan Komander Sumeth Punsri berkata kejadian itu berlaku dengan pantas dan suspek dipercayai melarikan diri menggunakan motorsikal berwarna merah-putih tanpa plat.

Pihak berkuasa mengumumkan wang ganjaran 100,000 baht kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes tembakan itu.

Thailand merupakan negara yang dikenali dengan pemilikan senjata api yang tinggi dan insiden berkenaan merupakan insiden terkini berkaitan dengan penyalahgunaan senjata api.

Terdahulu, beberapa tembakan dilepaskan di sebuah mahkamah pada akhir tahun lalu sehingga menyebabkan dua peguam maut dalam satu kejadian di timur negara itu.

Ia menjadi topik perbualan dalam kalangan rakyat negara itu yang menggesa kerajaan memperbaharui akta berkaitan keganasan senjata api.