SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh ke dalam tangki septik pada Rabu di Texas, Amerika Syarikat

Sebelum kejadian, Charleigh Nicole Nelson, 2, dikatakan berjalan di atas titi kayu yang diletakkan di tangki kumbahan berkenaan sebelum terjatuh pada dalaman sekitar 4.5 meter, lapor KRIS-TV.

Keluarga mangsa yang panik berusaha memberi bantuan menggunakan tali dan juga cangkul, namun tidak berjaya.

Pasukan keselamatan yang tiba tidak lama selepas itu memasuki tangki yang berisi dengan 0.9 meter air sekitar pukul 5.30 petang, kata Jabatan Bomba Rockport.

Kerja-kerja menyelamat mengambil masa sekitar satu jam sebelum mangsa berjaya ditarik keluar dalam keadaan tidak bernyawa.

“Kejadian itu sungguh menyayat hati. Baik kepada keluarga mangsa dan juga kejiranan yang melihat bagaimana ia berlaku,”kata satu kenyataan media.

Ibu mangsa, Brittney Nelson berkata dia enggan mempercayai apa yang berlaku selepas kejadian itu.

“Kami mengharapkan semangat antara satu sama lain. Teruskan berdoa. Doakan ahli keluarga kami yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk bersama kami.

"Kami sayang kalian dan kami amat memerlukan kalian,” tulisnya di akaun Facebook.

Tiada lagi laporan lengkap berhubung kematian Charleigh, namun penduduk di kawasan sekitar mendakwa mangsa tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tangki kumbahan itu.