JIKA sebelum ini, anda pernah mendengar tentang bintang cilik YouTube, Ryan yang menerima bayaran termahal menerusi “Ryan ToysReview”, pernahkah anda mendengar tentang seorang lagi bintang YouTube cilik dari Korea Selatan, yang dikenali sebagai “Boram Tube”?

Hanya dengan membuat ulasan atau review produk mainan kanak-kanak yang berada di pasaran, Boram turut berjaya menerima pendapatan lumayan dan mampu menghadiahkan keluarganya sebuah kediaman lima tingkat di daerah Gangnam, Seoul bernilai RM33 juta (9.5 bilion won).

Boram yang berusia enam tahun kini mempunyai lebih daripada 30 juta pengikut di dua saluran YouTube miliknya.

Salurannya yang dikenali sebagai “Boram Tube Vlog” sahaja telah berjaya menarik 17.6 juta pengikut, manakala saluran review mainannya iaitu Boram “Toy Review” pula mempunyai 13.6 juta pengikut.

Menurut laporan Korea Times, YouTuber cilik itu sangat popular dalam kalangan orang ramai dan dia dianggarkan menerima pendapatan kira-kira RM12.8 juta (3.7 bilion won) setiap bulan.

Dengan teknik pengeditan video yang menarik, Boram berjaya menarik sejumlah besar penonton di Korea Selatan.

Malah, kedua-dua saluran YouTube itu juga menduduki tangga teratas bagi akaun berpendapatan tinggi di negara itu.

Namun, berita pembelian rumah mewah itu menjadi bualan rakyat negara itu yang mendakwa Boram dipergunakan oleh ibu bapanya.

Bangunan yang seluas 258.3 meter persegi dan terletak di Gangnam itu dibeli pada 3 April lalu oleh syarikat Boram Family ( syarikat yang menguruskan kedua-dua saluran YouTube Boram).

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai yang berpendapat bahawa kanak-kanak itu dieksploitasi oleh ibu bapanya.