Tutup

Berita  | Dunia

Bukan emas jauh sekali nangka, harga pisang setengah juta!

Bukan emas jauh sekali nangka, harga pisang setengah juta!
Datuna dengan selamba memetik hasil karya Cattelan, mengupas kulit dan terus menghulur pisang yang dipetik ke mulut dan terus menjamah 'karya seni' berharga itu. -Instagram David Datuna
HANYA di Miami, sebiji pisang yang dipamer dijual dengan harga hampir setengah juta.

Lebih menarik perhatian, pisang yang terpampang di dinding pameran kini jadi bahan bualan setelah `dipetik’ dan terus dimakan!

Jika dikira dari segi nilai – `pisang pameran’ yang jadi korban seorang pengunjung itu diletakkan pada harga AS$120,000 atau hampir setengah juta ringgit.

Bukan rekaan tetapi itulah nilai yang didakwa dibayar seorang pengunjung yang sanggup meletak harga tinggi untuk karya seni pelik ini.
Bagi komuniti seni persembahan (performance art) atau seni peragaan (installation art), bukan suatu yang pelik apabila sebiji pisang layak jadi bahan pameran dan hasilnya dikira seni bertaraf tinggi (high art) dan halus (fine art).

Bahan seni itu dipamer Maurizio Cattelan yang terkenal dengan hasil kerja arca bersifat sendaan dan sarat bermakna bersandarkan pojok dan berjenaka.
Berasal dari Itali, karya seni Cattelan yang diberi tajuk Comedy dipamer di galeri Perrotin di Art Basel, Miami pada hujung minggu.

Art Basel ialah pameran seni antarabangsa yang dianjur setiap tahun di Basel, Switzerland; Miami Beach Florida dan Hong Kong.

Jangan terperanjat, apa dianggap seni dalam kalangan peminat dan pengunjung hanyalah sebiji pisang yang dilekatkan dengan pita perekat pada dinding.

Ada laporan yang menyatakan bukan dua tetapi tiga pengunjung begitu menghargai seni itu dan sanggup membeli karya `pisang’ Cattelan.

Pameran itu dihangatkan pada Sabtu apabila penggiat seni terkenal Amerika, David Datuna dengan selamba `memetik’ hasil karya Cattelan, mengupas kulit dan terus menghulur pisang yang dipetik ke mulut dan terus menjamah 'karya seni' berharga di ruang pameran.

Perbuatannya agak menggemparkan pemilik galeri yang kemudian menggantikan pisang yang telah dimakan itu dengan pisang baharu.

Datuna tidak dikenakan apa apa tindakan setelah memberi penjelasan bahawa aksi `petik’ dan `makan’ itu juga caranya tersendiri `mempamerkan seni’.