Setiap tahun, pengunjung tempatan dan pelancong asing tidak melepaskan peluang menyaksikan upacara melontarkan makanan ke dalam kawah gunung berapi Bromo yang masih aktif.

Ia merupakan upacara ritual yang dilakukan oleh penganut Hindu suku Tengger di Probolinggo, Indonesia.

Ritual tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti perayaan yang dinamakan sebagai Yadnya Kasada yang disambut selama sebulan.

Upacara tersebut menyaksikan bahan persembahan seperti bunga, buah-buahan, dan sayur-sayuran, malah ayam serta daging kambing dicampakkan ke dalam kawah Gunung Bromo yang terletak di Pulau Jawa itu.

Media antarabangsa melaporkan, ribuan penduduk dan pelancong mendaki Gunung Bromo pada Ahad untuk menyaksikan sendiri upacara itu.

Antara makanan yang dicampakkan ke dalam gunung berapi Gunung Bromo. - Foto: Reuters

Sementara itu, penduduk tempatan yang bukan penganut Hindu suku Tengger pula akan cuba untuk menangkap semula makanan yang telah dicampakkan menggunakan alat seperti jaring atau tangguk, mahupun kain sarung mereka.

Walaupun 'upacara menangkap' itu bukan sebahagian daripada ritual suku kaum Tengger, namun mereka yang menunggu di lereng lebih rendah daripada tempat melontar makanan itu percaya setiap bahan lontaran itu tidak sepatutnya dibazirkan begitu sahaja.

 Penduduk tempatan menangkap semula makanan tersebut kerana menganggap makanan tidak sepatutnya dibazirkan. - Reuters

Mengikut legenda, ritual itu berasal dari kisah sepasang suami isteri berdarah raja, Puteri Roro Anteng dan suami, Joko Seger dari kerajaan Majapahit pada kurun ke-15.

Mereka dikatakan terpaksa mengorbankan anak bongsu mereka ke dalam gunung berapi itu selepas dikurniakan seramai 25 orang anak.

Terdapat juga kisah yang mengatakan anak bongsu mereka itu dengan rela hati 'mengorbankan’ dirinya sendiri demi kesejahteraan suku kaum Tengger.

Kini, suku kaum Tengger meneruskan ritual itu tetapi menggunakan bahan makanan dan bukan nyawa manusia.

Kerajaan tempatan turut mengisytiharkan ritual tersebut sebagai tarikan kebudayaan dan kesenian yang istimewa buat pelancong yang datang ke lokasi itu.