Sengaja cari masalah.

Itu yang dapat dikatakan terhadap seorang lelaki warga China kerana tindakannya mencampak syiling yang kononnya bertuah ke enjin pesawat sebuah kapal terbang.

Akibatnya, lelaki berusia 28 tahun dan kali pertama menaiki pesawat itu didenda lebih AS$17,200 (RM70,525) dan dibayar kepada penerbangan Lucky Air.

Lu Chao mengaku melakukan kesalahan itu sebelum pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Anqing Tianzhushan di Anhui pada Febuari tahun lalu.

Bagaimanapun perkara itu hanya didedahkan baru-baru ini.

Penerbangan berkenaan terpaksa dibatalkan selepas dua keping syiling ditemui dalam enjin pesawat.

Semasa di mahkamah, Chao turut mempersoalkan pengurusan pesawat yang tidak meletakkan amaran kepada penumpang agar tidak membuang syiling ke dalam enjin pesawat.

Tindakan yang dilakukan Chao itu bukan kali pertama berlaku di China.

Malah perkara itu pernah beberapa kali dilakukan termasuk oleh seorang penumpang warga emas yang menyebabkan penerbangan tergendala pada 2017.