Ketika para penyelidik di seluruh negara sedang 'berlumba-lumba' membangunkan vaksin untuk memerangi jangkItan COVID-19, Jepun pula mendakwa ubat kumur yang biasa digunakan untuk membersihkan mulut mampu membunuh virus itu.

Portal tempatan, Sora News 24 melaporkan, perkara itu didedahkan oleh Gabenor Osaka, Hirofumi Yoshimura dalam satu sidang akhbar, semalam.

Beliau memberitahu, kajian yang dilakukan ke atas 40 pesakit bergejala ringan atau tanpa gejala mendapati, kandungan virus pandemik dalam air liur menurun selepas mereka berkumur menggunakan ubat kumur yang mengandungi povidone-iodine.

Katanya, ketika kajian itu dilakukan, cecair berkenaan diberikan empat kali sehari kepada pesakit COVID-19 dalam tempoh Jun hingga Julai lalu.

"Pada hari keempat, ketika ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dilakukan, hanya sembilan peratus daripada mereka yang didapati positif jangkitan itu berbanding 40 peratus yang tidak berkumur menggunakan cecair itu," katanya.

Ekoran pengumuman itu, berlaku pembelian panik berdasarkan rak menyimpan cecair kumur di beberapa pasar raya yang kelihatan kosong.

Bagi membuktikan keberkesanannya, Jepun kini menjalankan kajian dengan menggunakan 1,000 sampel ke atas pesakit bergejala ringan dan tanpa gejala.

Pengarah Pusat Penyelidikan Next-Generation Drug Development di Osaka Prefectural Hospital Organization Osaka Habikino Medical Centre, Akifumi Matsuyama menegaskan, sampel yang lebih besar penting dalam menentukan kejituan keputusan.

Katanya, meskipun kajian terkini yang dilakukan itu terbatas, namun Gobenor Yoshimura komited berkongsi 'berita baik' itu.

"Saya tidak boleh memberi jaminan yang COVID-19 boleh sembuh sepenuhnya, tapi saya berharap dengan menggunakan ubat kumur ini, ia boleh membantu mencegah penyebaran jangkitan," jelasnya.

Malah pada Jun lalu, sekumpulan pakar dari Malaysia dengan kerjasama sebuah syarikat farmaseutikal turut tampil dengan hasil yang hampir sama, apabila mendapati produk kumur mulut dengan kandungan povidone iodine di dalamnya didakwa mampu mencegah penyebaran COVID-19.

Dengan keberkesanan mematikan virus SARS-COV-2 (punca COVID-19) sehingga 99.99 peratus, kajian itu turut mendapati virus itu boleh ‘dimatikan’ dalam tempoh 15 hingga 30 saat kerana kandungan povidone-iodine di dalamnya.