Tutup

Berita  | Dunia

Cemas! Budak 3 tahun terperangkap di luar apartmen tingkat 13

Cemas! Budak 3 tahun terperangkap di luar apartmen tingkat 13
Zhou dilihat cuba menyelamatkan kanak-kanak itu dengan keluar dari tingkap rumahnya. -Mirror.com
SIYANG: Seorang kanak-kanak lelaki 3 tahun nyaris terjatuh dari sebuah bangunan apartmen apabila dia terperangkap di luar tingkap rumahnya di tingkat 13.

Video memaparkan detik cemas yang dimuat naik di internet itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan berdiri pada belebas dan bersandar sambil berpaut pada bingkai tingkap di luar bilik rumahnya dalam kejadian di Siyang, China.

Tangisan kanak-kanak itu menarik perhatian jiran, Zhou Shaoting yang tinggal di tingkat bawah rumahnya, lapor portal Mirror.

Zhou bertindak keluar dari tingkap apartmennya untuk menyelamatkan kanak-kanak itu, namun menghadapi masalah menyeimbangkan badannya di ruang yang agak sempit.
Zhou akhirnya memutuskan untuk berdiri bersama kanak-kanak itu sementara menunggu bantuan.

Mujur datuk kanak-kanak itu bergegas pulang dan berjaya menarik cucunya dari dalam rumah.
"Pagi tadi saya hantar cucu perempuan ke sekolah dan tiada siapa di rumah. Jadi saya tinggalkan telefon bimbit saya dengan cucu lelaki untuk bermain dan memberitahunya untuk tunggu di rumah," kata datuk kanak-kanak itu.

Cucu lelakinya itu dipercayai menarik kerusi ke tingkap sementara menunggu datuknya pulang.

Walau bagaimanapun, dia tiba-tiba memanjat keluar tingkap lantas terperangkap di luar.

Susulan kejadian, jiran mereka Zhou dijulang sebagai wira atas keberaniannya.