SEBUAH buku baharu mendedahkan pengasas syarikat Alibaba, Jack Ma, pernah 'lokek' dengan bertegas untuk hanya membenarkan kakitangan syarikat itu berehat hanya beberapa minit dari menjalankan tugas.

Syarikat e-dagang tersohor China itu kini dianggarkan bernilai AS$200 bilion (RM800 bilion) dan diasaskan pada 1999 sebagai sebuah syarikat start-up atau syarikat pemula di pangsapurinya di Hangzhou, China.

Menerusi buku bertajuk Alibaba: The House that Jack Ma Built, penulis Duncan Clark mengimbas kembali asal usul dan tuntutan budaya kerja ketat syarikat yang membawa kepada kejayaannya hari ini.

“Pekerja paling awal digajikan dengan gaji AS$50 (RM200) sebulan,” tulis Clark.

“Mereka dikehendaki bekerja tujuh hari seminggu, kebanyakannya melebihi 16 jam sehari. Jack (Ma) juga mengkehendaki kakitangannya mencari tempat tinggal tidak lebih dari 10 minit perjalanan ke pejabat, agar tidak membazirkan masa berulang-alik.”

Ada kalanya syarikat ini akan menyediakan makanan dan perkhidmatan yang diperlukan di lokasi pekerjaan agar mereka tidak ‘hilang’ untuk satu masa yang lama.

Sementara itu dalam reaksinya terhadap tulisan itu, seorang jurucakap syarikat Alibaba mengesahkan mereka pada awal penubuhan syarikat pernah mengenakan syarat kepada pekerja untuk tinggal dalam lingkungan 10 hingga 15 minit dari tempat kerja.

Pendedahan itu memberikan peringatan bahawa bagi menubuhkan sebuah syarikat start-up ia memerlukan budaya syarikat yang tegas dan pengorbanan kakitangannya.